30 Julai -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berpuas hati dengan persiapan sambutan bulan kemerdekaan yang bakal dilancarkan di Perlis 1 Ogos ini.
Beliau yang ditemui selepas menyaksikan raptai pelancaran sambutan itu di Stadium Utama Kangar malam tadi, berkata 90 peratus daripada persembahan dalam raptai tersebut adalah apa yang akan dipersembahkan Ahad ini.
Datuk Seri Dr Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat kebangsaan berkata, pelancaran yang julung kali berlangsung di Perlis itu akan dijayakan oleh 2,800 peserta dan dijangka disaksikan kira-kira 20,000 penonton.
Pelancaran sambutan bulan kemerdekaan itu serentak dengan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan yang bakal dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di stadium itu pada Ahad malam.
Beliau berkata sambutan bulan kemerdekaan yang bermula di Perlis itu akan berakhir di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 Sept depan dan lebih 130 program bakal mengisi sambutan itu, termasuk ulang tahun kemerdekaan pada 31 Ogos ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.
-- BERITA24
|
| |
|