30 Julai -- Sekurang-kurangnya tiga murid perempuan sekolah rendah di Petaling Jaya telah dikenal pasti menjadi mangsa rogol seorang pemandu bas sekolah yang ditahan Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai dirogol pada hari berlainan ketika menjadi penumpang terakhir bas sekolah terbabit.
Beliau berkata polis kini sedang mengambil keterangan ketiga-tiga mangsa untuk membantu siasatan selain mendapat gambaran sebenar kejadian.
Dalam perkembangan lain, ACP Arjunaidi berkata polis sedang giat memburu suspek kes cabul kanak-kanak sekolah berusia 12 tahun, yang membabitkan pemandu van sekolah di Kelana Jaya.
Kejadian rogol itu terbongkar apabila pemandu bas yang merogol seorang murid Tahun Empat pada 12.45 tengahari, 26 Julai lalu, ditangkap orang ramai yang ternampak bas itu diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
Dalam kes kedua pula, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dicabul seorang pemandu van ketika ke kelas tambahan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dengan keluar dari van tersebut.
-- BERITA24
|
| |
|