30 Julai -- Bermula 1 Ogos, Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang belum pernah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Membeli Rumah atau Mengurang Baki Pinjaman Perumahan KWSP, berpeluang untuk membeli rumah yang lebih tinggi nilainya di bawah 'Pengeluaran Perumahan Fleksibel'.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata kemudahan itu diperkenalkan bagi membolehkan ahli yang layak mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi.
Beliau berkata Pengeluaran Perumahan Fleksibel tidak akan menjejas simpanan persaraan ahli malah simpanan yang telah diasingkan itu akan terus menerima dividen tahunan.
Bagi kemudahan itu, ahli boleh memindahkan sebahagian daripada simpanan Akaun 2 ke dalam akaun Pengeluaran Perumahan Fleksibel dan diikuti pindahan amaun caruman bulanan yang ditetapkan ke dalam akaun perumahan tersebut.
Simpanan yang diasingkan di bawah Pengeluaran Perumahan Fleksibel tidak boleh dikeluarkan atau digunakan bagi tujuan pengeluaran pra-persaraan lain seperti perumahan, pendidikan, kesihatan dan umur 50 tahun sebelum tamat tempoh kemudahan pengeluaran ini.
-- BERITA24
|
| |
|